Diagnosis: Serangan radikal bebas
Gaya hidup serta tabiat makan yang kurang sihat mengakibatkan kerosakan pda struktur sel badan
RAMAI mengenali penyakit seperti kanser, jantung, diabetis dan artritis, tetapi kurang menyedari mengenai radikal bebas dan antioksidan, sedangkan ia adalah antara penyebab kepada masalah berkenaan.
Ini kerana, penyakit itu berpunca daripada peningkatan bilangan sel rosak dalam badan akibat serangan radikal bebas.
Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Global Pharmanex, sebuah cawangan Nu Skin Enterprises, Inc, Dr Carsten Smidt, berkata sel rosak yang semakin bertambah bilangannya mungkin menyebabkan penyakit kronik.
Di samping itu ia juga menyebabkan daya ketahanan yang lemah, malah mempercepatkan proses penuaan yang boleh membawa kepada penyakit seperti Alzheimer, Parkinson, artritis dan katarak, katanya dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyelidikan yang dijalankan mendapati, ada lebih 100 jenis penyakit dihidapi manusia berkait rapat dengan kerosakan sel badan akibat serangan radikal bebas.
Gaya hidup serta tabiat makan yang kurang sihat menyumbang kepada peningkatan tahap radikal bebas di dalam badan dan tahap yang tinggi ini boleh mengakibatkan kerosakan pada struktur sel badan.
Radikal bebas
Radikal bebas adalah molekul yang mengandungi sejumlah elektron ganjil dan berada dalam keadaan tidak aktif serta tidak stabil.
Bagi menstabilkannya, radikal bebas ini ‘mencuri’ elektron daripada sel sihat di dalam badan dan menjadikannya pasangan untuk elektron yang berjumlah ganjil.
Proses ‘mencuri’ serta melengkapkan elektron ini akan merangsang reaksi berantai yang boleh menyebabkan kerosakan sel dikenali sebagai pengoksidaan.
Kewujudan tahap radikal bebas yang tinggi di dalam badan boleh menyebabkan peningkatan serangan terhadap sel dan mengakibatkan kerosakan kepada sel seperti sel lipid, protein, dan juga DNA.
Kerosakan ini mengakibatkan sel badan hilang keupayaan untuk menyerap nutrien dan akhirnya mati.
Radikal bebas yang menyerang sel DNA mungkin menyebabkan perubahan gen yang akan diturunkan kepada generasi masa depan dan muncul semula sebagai kanser ataupun bentuk komplikasi kesihatan yang lain.
Dr Smidt berkata, kita tidak dapat mengelak daripada radikal bebas kerana badan secara semula jadi mengeluarkan unsur-unsur ini sewaktu pengeluaran tenaga di dalam mitokondria - struktur sel yang diibaratkan sebagai sebuah kilang tenaga yang bertindak untuk menukar makanan dan oksigen kepada tenaga.
Oleh itu, apa yang penting adalah sentiasa mengawasi tahap radikal bebas dengan mengimbangkan kandungan radikal bebas dan antioksidan di dalam badan.
Mengambil langkah proaktif untuk memahami dan meningkatkan tahap antioksidan di dalam badan akan memanfaatkan kesihatan seseorang, katanya.
Antioksidan
Antioksidan boleh diibaratkan sebagai ‘polis’ yang bertugas di dalam badan yang berfungsi ‘meneutralkan’ serangan radikal bebas dengan ‘menderma’ elektron untuk ‘dicuri’ oleh radikal bebas, sekali gus mengurangkan insiden ‘kecurian’ elektron daripada sel-sel sihat.
Sebagai barisan pertahanan pertama di dalam badan bagi meneutralkan serangan radikal bebas terhadap sel, antioksidan penting dalam memperlahankan proses penuaan serta memperbaiki kesihatan secara amnya.
Dr Smidt berkata, ada ratusan antioksidan yang wujud bersama-sama di dalam sistem pertahanan antioksidan badan.
Bagi mengekalkan jaringan antioksidan yang kuat dan efektif, pengambilan pelbagai jenis vitamin serta galian antioksidan melalui sekurang-kurangnya lima hingga 10 hidangan, terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran berwarna, bijirin lengkap serta kekacang setiap hari dapat membantu, katanya.
Bagi golongan berumur dan mereka yang tidak mampu mengambil jumlah buah-buahan dan sayuran disyorkan, ia boleh diganti dengan pengambilan produk makanan kesihatan tambahan antioksidan.
Apa pun, katanya, bagi mengelakkan lebihan dos bekalan vitamin seperti A, D atau E daripada sumber makanan dan juga produk kesihatan tambahan, dinasihatkan seseorang itu mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.
Dr Smidt berkata, selain diet makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayuran serta kekacang dan bijirin, amalkan juga senaman secara sederhana, terus menjalani kehidupan secara positif dan elakkan terdedah kepada sinaran cahaya matahari secara berlebihan juga elakkan merokok.
Ini bukan saja membantu mencegah kerosakan yang disebabkan radikal bebas, malah ia juga dapat meningkatkan kualiti hidup, katanya.
Mengukur tahap antioksidan
Tahap antioksidan boleh diukur melalui tahap antioksidan karotenoid di dalam badan yang mana ia memberi petunjuk sama ada diet seseorang itu kaya dengan buah-buahan dan sayuran, ataupun kaya dengan pemakanan tambahan, atau ia juga dapat memberi petunjuk kepada diet yang kurang dipengaruhi oleh kedua-dua faktor ini.
Secara amnya, kaedah ujian standard makmal semasa yang digunakan untuk mengukur tahap antioksidan dalam badan adalah ujian yang kurang popular kerana ia membabitkan pengambilan sampel darah.
Menyedari hakikat ini, Pharmanex membangunkan alat pengimbas antioksidan - Pharmanex® BioPhotonic Scanner.
Alat ini mempunyai teknologi berpaten yang membolehkan seseorang buat pertama kalinya, mengukur tahap antioksidan di dalam badan melalui kaedah yang tidak melukakan badan (tidak memerlukan jarum atau sampel darah) dan juga memberi keputusan dalam masa kira-kira tiga minit.
Dibangunkan sekumpulan doktor, jurutera serta ahli fizik dari Universiti Utah, Amerika, hasil penyelidikan selama 10 tahun, BioPhotonic Scanner berdasarkan kaedah optikal Raman Spektroskopi yang ditemui pada tahun 1930 oleh pemenang Hadiah Nobel, Sir C.V. Raman.
BioPhotonic Scanner mengaplikasikan undang-undang fizik dengan mengacukan cahaya laser biru berkuasa rendah ke tapak tangan seseorang untuk menyediakan keputusan tahap antioksidan badan dalam masa tiga minit.
Punca-punca Unsur Radikal Bebas
Dalaman (di dalam badan manusia)
* Sumber utama adalah daripada badan manusia ketika pengeluaran tenaga di dalam proses mitokondria
* Sewaktu proses metabolisme biasa bagi lemak, karbohidrat dan protein
* Tekanan - bahan kimia dan sesetengah hormon endokrin mewujudkan unsur-unsur radikal bebas
Luaran (di luar badan manusia)
* Pencemaran alam sekitar seperti jerebu dan asap kenderaan
* Asap rokok
* Bahan kimia toksik seperti racun makhluk perosak, racun serangga, bahan pengilat dan perabot
* Radiasi ultra ungu contohnya pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari dan pendedahan berlebihan kepada sinaran X.
* Kandungan lemak di dalam makanan diproses, makanan digoreng, makanan barbeku dan yang dibakar
* Makanan yang diawet
* Senaman berlebihan
Sumber-sumber Antioksidan
Antioksidan boleh diperoleh daripada diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayuran, kekacang dan bijiran lengkap. Mengambil sekurang-kurangnya 5 hingga 10 hidangan yang terdiri daripada buah-buahan dan sayuran pelbagai warna setiap hari membantu meningkatkan tahap sistem pertahanan antioksidan badan.
Pelbagai jenis antioksidan perlu dimakan untuk memberikan badan penjagaan optima daripada serangan unsur-unsur radikal bebas. Sumber-sumber antioksidan termasuk:
Vitamin antioksidan
* Beta kerotina - lobak merah, oren, betik, labu
* Vitamin C - kebanyakan buah-buahan dan sayuran
* Vitamin E - minyak sayuran, kekacang
Galian tambahan
* Kuprum - cendawan, biji bunga matahari, ketam
* Selenium - telur, daging merah, ayam
* Zing - daging merah, kekacang
* Zat besi - Daging, makanan laut, kacang
Phytonutrien:
* Likopen - tomato dan produk berasaskan tomato
* Lutein - bayam, jagung, seleri, brokoli
* Flavonoid - brokoli, tomato, lemon
* Polifenol - teh hijau
Lain-lain
* Glutathion - asparagus, brokoli
* Koenzim Q10 - ikan, bayam, kekacang, soya
0 Comments:
Post a Comment
<< Home