Kaitan sindrom metabolik dengan perut buncit
JANGAN fikir buncit perkara biasa. Buncit di perut selalunya mengandungi banyak lemak dan mereka yang mengumpul lemak di perut berbanding di peha dan pinggul lebih berisiko untuk berhadapan dengan sindrom metabolik yang akan menyebabkan penyakit koronari arteri.
Menurut Dr Abdul Shatar Dahan, pakar dari Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, sekitar 1988, sindrom metabolik ini dikenali sebagai sindrom X oleh seorang profesor di Universiti Perubatan Stanford. Tetapi kemudiannya ia dikenali sebagai sindrom metabolik yang pembentukannya banyak dipengaruhi cara hidup. Ia dikaitkan dengan kegemukan, diabetes awal, tahap kolesterol yang tinggi dan hypertension.
“Perlu diingat, sindrom metabolik bukannya satu penyakit tetapi ia adalah rangkaian ketidaktentuan metabolisme badan – termasuk darah tinggi, kadar insulin tinggi, terlebih berat badan dan tahap kolesterol luar biasa – yang akan menyebabkan anda berisiko untuk terdedah kepada diabetes, sakit jantung dan strok,” kata Dr Shatar.
Setiap satu darinya memiliki faktor risiko untuk penyakit lain dan akan menyebabkan pesakit berhadapan dengan masalah penyakit yang mengancam sepanjang usia.
Sindrom ini sudah menjadi kebiasaan ketika ini dan menjadi kelaziman. Di Amerika, ia menyerang setiap seorang daripada empat orang dan 40 peratus orang dewasa berusa 40 tahun ke atas berhadapan dengan sindrom metabolik, peningkatan 61 peratus dari abad lepas. Di Malaysia dianggarkan 30 peratus mereka yang berada dalam pertengahan usia berhadapan dengan sindrom metabolik.
“Sindrom metabolik sebenarnya tiada tanda-tanda khusus. Kerana itu ia sangat membimbangkan kerana ramai yang menghidap sindrom metabolik ini berasakan mereka sihat tanpa mempunyai apa-apa simptom. Oleh sebab itu mereka tidak menjaga kesihatan dan akhirnya mereka diancam diabetes dan sakit jantung,” katanya.
Bagaimanapun, anda haruslah rajin membuat pemeriksaan kesihatan dan berhati-hati jika anda memiliki tanda-tanda berikut:
1. Buncit
2. Tekanan darah tinggi
3. Satu atau lebih tahap kolesterol yang luar biasa - tahap lemak yang tinggi atau tahap kolesterol HDL (high-density lipoprotein) yang rendah atau dipanggil juga kolesterol baik.
4. Penolakan terhadap insulin, hormon yang membantu kitaran jumlah gula dalam tubuh
“Memiliki satu komponen sindrom metabolik bermakna anda mungkin memiliki komponen lain sindrom itu. Dan pada setiap satu komponen yang anda miliki, semakin ia berisiko kepada kesihatan anda,” kata Dr Shatar.
Katanya, pakar perubatan percaya, sindrom metabolik ini berlaku disebabkan penolakan kepada insulin - hormon yang dihasilkan pankreas yang membantu mengagihkan jumlah gula dalam tubuh. Secara normal, sistem pencernaan kita akan memecahkan makanan yang dimakan kepada glukos. kemudian tubuh menggunakan insulin untuk membekalkan glukos ke dalam sel, ia ditukarkan kepada tenaga untuk melancarkan proses tubuh.
Jika tubuh menolak tindakan insulin, glukos yang diproses rosak, tubuh akan bertindak dengan menghasilkan lebih dan lebih insulin dalam usaha membantu glukos masuk ke dalam sel. Insulin lebihan ini membantu menyeimbangkan tahap normal glukos untuk sementara tetapi sebenarnya pankreas tidak boleh menyelesaikan penolakan insulin. Jumlah glukos dalam tubuh akan membawa kepada diabetes tahap dua.
Sindrom metabolik akan terjadi sebelum itu. Tahap glukos dalam badan menjadi tinggi secara luar biasa tetapi tidak hingga diklasifikasikan sebagai diabetes tetapi cukup tinggi untuk membuatkan lebihan insulin dalam tubuh menyebabkan pesakit berhadapan dengan masalah kesihatan lain.
Tahap kolesterol dan triglycerides dalam salur darah mungkin bertambah menyebabkan kerosakan pada saluran koronari. Tahap insulin yang tinggi mungkin menyusahkan buah pinggang dalam usahanya memproses garam yang boleh meningkatkan tekanan darah.
“Penyebab penolakan insulin ini tidak dapat dipastikan tetapi ia membabitkan pelbagai faktor genetik dan alam sekitar. Doktor percaya sesetengah orang secara genetik mudah berhadapan dengan masalah penolakan insulin dan kecenderungan ini mungkin diwarisi. Tetapi jika anda mempunyai berat badan berlebihan dan tidak pula suka bersenam, ia juga penyumbang utama,” katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home