Friday, May 19, 2006

Diabetes ibu banyak penyakit

KENCING manis yang tidak dirawat boleh disifatkan sebagai ibu segala penyakit. Kencing manis atau diabetes boleh menjadi punca penyakit lain seperti penyakit jantung, angin ahmar, penyakit kronik ginjal dan ulser kaki.

Walaupun tidak ada ubat boleh menyembuhkan diabetes tetapi ia boleh dikawal menerusi pengambilan ubat mengikut aturan. Selain itu amalan diet yang betul juga senaman membantu pesakit diabetes menikmati kehidupan berkualiti.

Persatuan Diabetes Malaysia menganggarkan 1.2 juta rakyat negara ini berhadapan dengan masalah ini. Ironinya separuh daripada angka itu tidak menyedari mereka mengalami masalah diabetes.

Dietitian Kanan, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kanimolli Arasu, berkata selepas didiagnosis dengan diabetes, paling penting ialah dengan mendisiplinkan diri untuk mematuhi diet khusus yang diberikan pakar pemakanan.

“Setiap pesakit diabetes memerlukan keperluan kalori berbeza. Biasanya pakar pemakanan akan memberi panduan diet mengikut keperluan kalori pesakit. Memang karbohidrat akan menaikkan tahap gula dalam darah tetapi ia tidak bermaksud, pesakit tidak boleh makan nasi. Nasi boleh dimakan tetapi mengikut sukatan,” katanya.

Bagaimanapun menjadi kelaziman, ada pesakit yang terlalu ekstrem menjaga diet hingga tidak langsung mengambil nasi dan menggantikannya dengan roti.

“Mereka fikir tidak ambil nasi boleh rendahkan kadar gula dalam darah. Jadi mereka ambil roti dengan mentega. Masalahnya roti dan mentega saja tidak mengenyangkan dan makan hingga lima keping roti. Lima keping roti lebih tinggi karbohidrat dari secawan nasi. Sepatutnya, jika mahu ganti nasi dengan roti, buatlah sandwich, letak timun atau tomato. Sandwich lebih mengenyangkan daripada roti,” katanya.

Sebaiknya, gunakan roti jagung yang mengandungi kandungan serat yang lebih tinggi daripada roti putih biasa. Jika mengambil nasi putih, pastikan ia diambil bersama ulam atau sayuran hijau kerana kandungan serat dalam sayur-sayuran akan mengurangkan peningkatan gula darah selepas makan. Begitu juga dengan nasi lemak. Lebih baik jika nasi lemak dimakan dengan sayur seperti timun, kangkung, kacang panjang dan kurangkan sambal yang dicampur gula.

Mungkin tidak ramai menyedari hubungan antara hormon dan makanan. Hormon mengatur hampir setiap perkara yang dilakukan tubuh individu. Bermula dengan mengawal paras gula dalam darah, hingga kepada perkara lain membabitkan mekanisma asas kesinambungan hidup seperti tekanan, ketakutan dan juga perasaan jatuh cinta!

Hormon juga penting untuk mengawal insulin. Ia dikenali sebagai hormon utama dalam metabolisme tubuh manusia kerana ia mengatur tekanan darah, pengeluaran kolestrol dan trigliserid dan penyimpanan lemak.

Apabila paras insulin terlalu tinggi, akan berlaku kekacauan metabolisme berikutan peningkatan tekanan darah, peningkatan kolestrol dan trigliserid disusuli dengan kencing manis dan obesiti. Diet yang salah juga membuatkan paras insulin anda tidak tentu hala.

Kanimolli berkata, diet untuk pesakit diabetes tidaklah berbeza dengan orang normal kerana setiap orang harus mengambil diet seimbang. Secara asas, pengambilan makanan haruslah rendah dengan lemak, gula dan garam, lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kebanyakan orang tahu, pengambilan makanan berasaskan karbohidrat akan meningkatkan tahap gula dalam darah. Begitupun ia tidak bermaksud anda tidak boleh langsung menikmati karbohidrat. Justeru jadikan indeks glisemik (GI) panduan dalam pengambilan makanan.

“Tetapi indeks glisemik ini kadang kala mengelirukan pesakit. Sebabnya, bukan semua makanan berasaskan karbohidrat cepat bertindak dengan gula dalam darah. Misalnya, 30 gram karbohidrat dalam bentuk roti tidak memberi kesan yang sama dengan 30 gram karbohidrat dalam bentuk pasta. Roti juga ada pelbagai dan memiliki skala glisemik berbeza,” katanya.

Tetapi GI boleh memberitahu anda, berapa cepat atau lambat setiap makanan meningkatkan tahap gula dalam darah. Justeru, ia mungkin boleh menjadi panduan untuk anda dalam pengambilan makanan.

Jika ingin menukar jenis karbohidrat, pertimbangkan tiga kategori makanan ini

# Makanan bergula seperti gula-gula, coklat, jam, biskut manis dan kek cepat dicerna dan ia menyebabkan kenaikan pantas gula dalam darah. Justeru, elakkan makanan begini.

# Pilih makanan berkanji seperti roti putih biskut kering yang mengambil masa untuk dicerna.

# Makanan berkanji yang berserat tinggi seperti roti gandum tulen, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan begini mengambil masa lama untuk dihadam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home